BUTTERWORTH: Polis Pulau Pinang menahan seorang lelaki dipercayai membantu memberi makanan kepada lima tahanan yang sedang bersembunyi di kawasan ladang sawit dan hutan di Ara Kuda, Tasek Gelugor malam tadi.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di perkarangan Masjid Al-Falah di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir yang terletak berhampiran dengan kawasan ladang itu di sini kira-kira 10 malam.
"Berdasarkan risikan, polis berjaya mengesan lelaki berkenaan dan ketika ditahan dia sedang menunggu seorang daripada lima tahanan yang kita buru itu dalam keretanya. Kita sudah arahkan anggota polis membuat rondaan dalam kawasan ladang sawit dan hutan itu," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Dalam kejadian 9 pagi Isnin lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati selepas cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam, dekat sini, kelmarin.
Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan itu adalah rakan kepada lima tahanan itu dan dia dipercayai memberi makanan dan duit kepada mereka.
Katanya, lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, polis juga sedang mengesan beberapa lagi lelaki yang dipercayai turut memberikan perlindungan dan makanan kepada tahanan yang masih bebas itu dan dipercayai mereka berhubung menggunakan telefon bimbit yang dibekalkan kepada tahanan.
Sementara itu, seorang penduduk di taman berhampiran kawasan itu mendakwa melihat seorang daripada tahanan berkenaan berhampiran rumahnya.
Lelaki itu yang enggan dikenali berkata, tahanan berkenaan berjalan berhampiran rumahnya dan sebaik menyedari orang terbabit yang diburu polis, beliau terus masuk ke dalam rumah serta menghubungi pihak polis.
Dua tahanan yang ditembak mati, kelmarin ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia.
Mereka yang masih diburu ialah Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, Mohamad Farid Akhtar, 24, Hamzani Harun, 37, Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dan Hisham Abdul Rahman, 39. - BERNAMA
No comments
Post a Comment