BUKAN tak biasa kita dengar atau baca mengenai penipuan melibatkan urusan jual beli atau membaiki telefon bimbit.
Walaupun pihak berkuasa telah mengadakan pemeriksaan dan rondaan, masalah ini nampaknya seperti terus membelenggu pengguna.
Si penjual pula, makin lama makin bijak menggunakan pelbagai helah dalam memperdayakan para pelanggan sehinggakan mereka tidak sedar telah ditipu ‘hidup-hidup’.
Terbaharu, kami menerima aduan daripada seorang netizen yang mendakwa telah ditipu oleh sebuah kedai membaiki telefon di sebuah pusat beli-belah.
Menurut Mohd. Shazni Mohd. Ariff, pada mulanya, dia pergi ke kedai itu untuk membeli bateri baharu untuk telefon bimbit jenis Iphone 4 miliknya.
“Pada 13 November lalu, saya datang ke Mines Shopping Mall untuk repair iPhone 4 saya kerana tidak boleh charge atau charge tidak masuk.
“Saya nak beli bateri baru tapi bila lelaki Cina tu check Iphone 4 saya, die cakap bateri saya ok. Tapi yang rosak adalah tempat charger. Saya tukar dengan harga RM70.
“Tapi, masih lagi tak boleh charge, makanya memang bateri yang rosak. Tukar bateri baru dengan harga RM60,” ujarnya.
Bagaimanapun, selepas pulang, Mohd. Shazni mendapati mikrofonnya pula tidak berfungsi. Walhal, sebelum ini ia masih elok dan boleh berfungsi dengan baik.
Hal itu membuatkan Mohd. Shazni kembali semula ke kedai tersebut untuk membaiki telefon bimbitnya.
Namun, hal lebih parah berlaku apabila Mohd. Shazni mendapati barang dalaman telefon bimbitnya ditukar dengan barang tidak asli hingga mendatangkan pelbagai masalah lain.
“Bila sampai di rumah saya perasan tempat charger yang di bawah tu bertukar kepada warna putih dan nampak baru… tidak seperti saya punya. Tempat charger saya pada asalnya berwarna hitam.
“Bila saya charge phone dengan menggunakan fast charger ia tidak seperti sebelum saya tukar battery.. ia mengambil masa yang lama untuk charge dan saya pelik kenapa macam tu… saya dah pakai iPhone ni selama 4 tahun dan tahu macam mana rupaphone saya.
“Member opis forward link di Facebook berkenaan pelanggan mengadu kene tipu dengan kedai repair handphone di Mines. SAMA SEPERTI CERITA SAYA.
“Itu menyebabkan saya pegi balik ke kedai phone itu hari ini (25 NOV. 2015) dan memberitahu saya tidak puas hati dengan apa yang dilakukan oleh staf kedai phone tu yang sesuka hati tukar barang phone saya sedangkan ia tidak rosak dan menjadikanphone saya mengambil masa yang lama untuk charge,” katanya.
Dia difahamkan, pekerja yang menipu ketika membaiki telefon Mohd. Shazni kebetulan sedang bercuti pada hari itu.
Namun, kerana takut ‘pisang berbuah dua kali’, Mohd. Shazni bertegas terhadap peniaga kedai tersebut dan meminta ianya diselesaikan segera dan dibaiki semula.
“Kedai tu tidak minta apa-apa charge pun walaupun dia tukar dengan yang baru. Sonampak tak permainan dia, setelah kantoi tukar dengan barang yang bukan ori… kalau kesilapan saya mesti dia kenakan charge, tapi ini tidak,” ujarnya.
Berikutan itu, Mohd. Shazni meminta agar semua pengguna telefon bimbit lain berhati-hati dalam urusan membaiki telefon bimbit.
Mynewshub.cc
No comments
Post a Comment