TOKYO – Ratusan ribu produk makanan beku dingin pasta sebuah jenama ternama terpaksa ditarik balik dari pasar raya seluruh Jepun hari ini hanya kerana penemuan seekor lipas di dalam salah satu paket keluaran syarikat terkenal tempatan, Nissin Frozen Foods.
Jurucakap Nissin Food Holdings berkata, syarikat perintis mi segera popular itu kini menjalankan siasatan terperinci berikutan dakwaan seorang pelanggan yang terserempak benda asing dipercayai salah satu bahagian lipas di dalam bungkusan keluarannya.
Meskipun belum lagi dapat dipastikan kesahihan kelibat serangga itu, syarikat produk tradisional mi ramen Jepun tersebut yang diasaskan pada 1948 bertindak pantas menarik balik kira-kira 750,000 paket yang telah dijual semua pasar raya dari seluruh Jepun.
“Kami menggunakan sayur-sayuran beku dalam membuat produk makanan ini dan lipas itu dipercayai mungkin tersangkut pada salah satu celah sayur tersebut sebelum diproses oleh mesin bahagian pengeluaran,” kata seorang jurucakap dalam satu kenyataan media.
Syarikat Nissin yang berpusat di Osaka kini mempunyai lebih 7,500 pekerja dengan kilang di Brazil, Hong Kong, Thailand, India, Jerman, China dan Mexico bagaimanapun enggan mendedahkan dari sumber mana sayur-sayuran mereka diperoleh untuk diproses.
Namun, untuk pasaran Jepun, produk dihasilkan di kilang Nissin di wilayah Shizuoka manakala kilang cawangan di luar negara untuk pasaran antarabangsa antaranya Australia, Filipina, Taiwan, Kanada, United Kingdom, Sweden, Singapura dan Malaysia.
Jepun terkenal dengan rekod terbaik keselamatan makanan pengguna malah tahap standard amat ketat menyebabkan industri makanan tempatan amat mahal bagi menyerap kos kawalan kualiti sekali gus menjadikan produk dijual pada harga tinggi. – Agensi
No comments
Post a Comment