Betong (Yala): Dua wanita ditembak mati di daerah di sini semalam sementara seorang guru perempuan juga mati akibat ditembak di daerah Khok Pho, Pattani.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan pertahanan cedera dalam serangan bom di daerah Rueso, Narathiwat.
Dalam kejadian di Betong, Sirirat Saechan, 35, mati ditembak pada jam 10.30 pagi (waktu tempatan) sementara rakannya, Salinee Saethong, 55, mati dalam perjalanan ke hospital selepas dua lelaki bermotosikal mengejar dan menembak mereka yang juga sedang menunggang motosikal.
Polis melancarkan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kejadian itu berpunca daripada konflik peribadi atau sebahagian daripada keganasan yang melanda selatan Thai.
Sementara itu, guru, Isara Chairitchok ditembak di kedai minyak di Khok Po oleh dua lelaki bermotosikal yang berpura-pura hendak mengisi minyak di kedai di rumahnya.
Dia ditembak dua kali di kepala dan dua lagi di belakang.
Pegawai di hospital Khok Pho menghantar Isara ke Hospital Pattani yang lebih lengkap tetapi dia gagal diselamatkan.
Isara menjadi guru ke-179 yang terbunuh di selatan Thai sepanjang 10 tahun lalu.
Polis mengesyaki serangan itu adalah tindak balas terhadap kematian dua pemimpin kumpulan pemisah yang ditembak mati oleh pihak berkuasa di daerah Nong Chik Jumaat lalu.
Dalam perkembangan sama, jurucakap tentera di selatan Thai, Kolonel Pramote Phromim berkata, pihaknya merampas dua senjata bersama-sama peluru dalam operasi di Nong Chik, tempat dua anggota pemisah ditembak mati.
Di Rusoh, daerah di Narathiwat, sukarelawan pertahanan Doloh Waesu cedera dalam satu letupan bom.
Kejadian berlaku ketika dia meronda kawasan itu bersama lima yang lain.
Ketua peronda yang juga ketua Kampung Ban Bluka, Royalee Musor berkata, Doloh terlanggar wayar yang diikat pada sebutir bom, menyebabkan bahan letupan itu meletup. - Agensi
No comments
Post a Comment