SEORANG wanita nampaknya begitu terdesak untuk menjadi tumpuan ramai apabila dia mengambil keputusan menjual tiket berharga £10,000 (RM53,949.38) kepada 'peminat' yang mahu menyaksikan dia bersalin.
Tindakan itu benar-benar mengejutkan ramai sehingga mempersoalkan kenapa ada yang mahu melakukan perkara itu mahupun membayar untuk tiket berkenaan kerana ia dilihat terlalu pelik.
Wanita itu, Josie Cunningham sebelum ini menarik perhatian ramai apabila melakukan implan payudara di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS). Dia kini kecewa apabila satu tawaran untuk menjual DVD yang menyiarkan rakamannya melahirkan anak dengan sebuah syarikat tidak menjadi.
Josie yang berhasrat untuk menjadi seorang model yang terkenal, dijangka bersalin pada Oktober ini, memberitahu majalah Closer: "Saya sakit hati apabila tawaran DVD itu tidak menjadi. Saya dijangkakan mendapat beribu-ribu (pound) menerusi tawaran itu dan mahu berkongsi pengalaman berharga itu. Saya kemudiannya menyedari perkara terbaik seterusnya adalah menjual tiket untuk menyaksikan saya melahirkan anak di rumah.
"Saya sudah pun teruja dengan rancangan ini. Saya menjual dua tiket pada harga £5,000 (RM26,962.15) setiap satu dan dua tiket berharga £10,000 (RM53,949.38) untuk VIP. Kesemua tiket termasuk kemudahan pengangkutan dan penginapan, dan mana-mana tiket yang berharga lebih tinggi dapat merakamkan kelahiran ini dan mengambil gambar.
"Saya akan menggunakan wang ini untuk membuat bayaran balik kepada NHS yang melakukan pembedahan saya, dan akan membelanjakan bakinya untuk anak-anak saya."
Bagaimanapun, sukar untuk dipercayai apabila Josie, 23, sudahpun mempunyai seorang 'peminat' yang telah membeli sekeping tiket untuk menghadiri ke acara yang dikatakan amat pelik itu.
Paul Mills-Ash, 29, berkata: "Saya mengikuti perkembangan kerjaya Josie sejak dia mula menjadi tumpuan ramai. Saya menggunakan wang simpanan saya untuk membeli sekeping tiket berharga £5,000. Ia sememangnya satu jumlah wang yang banyak tetapi ia berbaloi. Ia boleh dikatakan sebagai sesuatu yang manis apabila mengenangkan mengenai saya menyaksikan kelahiran itu, pada masa akan datang." - mirror.co.uk
No comments
Post a Comment