PETALING JAYA: Pelakon Izzue Islam memberitahu dia menghangatkan rumah tangga selepas berkahwin dengan Nurinafilah Waharudin (Awin), 32, dengan cara memberi kejutan kepada isterinya itu pada setiap hari.
Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 24, berkata, kejutan yang diberikan itu bukanlah berbentuk pemberian barangan tetapi lebih kepada perbuatan agar masing-masing akan berasa dihargai.
"Saya percaya setiap pasangan mempunyai cara tersendiri untuk menghangatkan rumah tangga mereka. Saya pula lebih suka memberi kejutan seperti mencium dahi isteri ketika bangun pagi.
"Walaupun kecil perbuatan itu, isteri semestinya akan berasa dihargai. Begitu juga dengan Awin, ada saja kejutan yang dia lakukan untuk saya. Keadaan itu membuatkan kami berasa seronok dan lebih memerlukan antara satu sama lain," katanya kepada mStar Online.
Tambah anggota kumpulan Forteen ini, walaupun sudah lima tahun berkenalan sebelum mendirikan rumah tangga, sehingga kini mereka yang meraikan ulang tahun perkahwinan pertama pada 2 Jun lalu masih lagi berasa seperti sepasang kekasih yang baharu menjalinkan hubungan cinta.
Kata Izzue, dia telah menghadiahkan Awin sebuah jam tangan semepna ulang tahun itu dan tidak sangka pula isterinya itu turut memberikan hadiah serupa kepadanya.
"Memandangkan sekarang ini saya sibuk dengan persiapan pementasan teater Projek Kahwin, jadi saya tidak ada masa nak cari hadiah untuk diberikan kepada isteri.
"Kebetulan pula saya mempunyai sedikit masa waktu rehat, jadi saya terus beli jam tangan untuknya kerana dia pernah meluahkan hasrat mahu beli jam tangan baru.
"Tak sangka pula dia pun menghadiahkan barangan sama kepada saya. Apa-apapun saya bersyukur kerana sudah setahun kami melayari bahtera sebagai pasangan suami isteri. Doakan kami sehingga akhir hayat Insya-Allah," ujarnya.
Sementara itu, lakonan Izzue boleh disaksikan menerusi pementasan teater muzikalProjek Kahwin yang dipentaskan pada 6 hingga 14 Jun ini di Panggung Sari, Istana Budaya.
No comments
Post a Comment