CHAOYANG – Seorang lelaki mendakwa
tinggal dalam lubang perparitan syarikat elektrik hampir 20 tahun
semata-mata untuk berjimat bagi membiayai pelajaran anaknya di ibu
negara China, Beijing, lapor akhbar di sini.
Selepas mendapat tahu nasib lelaki itu,
pihak berkuasa Beijing bertindak memberi penginapan sementara kepadanya,
lapor media di sini.
Penduduk tempatan menghubungi polis selepas menemui lelaki berusia 53 tahun itu, Wang, dalam lubang berkenaan kelmarin.
Ia terletak dalam kawasan Masyarakat Taman Lido di daerah Chaoyang yang hanya sebesar empat meter persegi.
Bagi mengelak dilihat orang, Wang meletakkan kepingan kadbod untuk menutup lubang itu.
Wang mendakwa, dia tinggal di ruang
sempit itu hampir dua dekad bagi membolehkannya berjimat untuk membiayai
persekolahan tiga anaknya di daerah Huairou, 40 kilometer dari sini di
utara Beijing.
“Kos persekolahan memang banyak. Isteri saya menjaga mereka di rumah manakala saya mencari apa jua kerja.
“Kadar sewa satu bilik
sekurang-kurangnya 300 yuan (RM150), jadi untuk berjimat, saya tinggal
dalam lubang itu hampir 20 tahun,” katanya.
Berikutan itu, pihak berkuasa memberikannya penginapan sementara, kata seorang pegawai polis.
“Kami akan hubungi keluarganya dan menghantarnya ke pusat bantuan jika perlu,” kata pegawai itu lagi.
Pekerja bekalan tenaga memberi amaran,
adalah bahaya untuk sesiapapun berada di dalam lubang berkenaan meskipun
tiada saluran elektrik melaluinya.
“Ada banyak peralatan di dalamnya. Sukar
membayangkan apa akan berlaku jika peralatan itu disentuh sesuka hati,”
kata seorang pekerja di syarikat bekalan tenaga Beijing. – AGENSI
No comments
Post a Comment